[88]
"Kemudian
Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor
anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: "Ini ialah
tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!"
[89]
Patutkah mereka
tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak nampak bahawa patung itu tidak dapat
menjawab perkataan mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka?
[90]
Dan demi
sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada mereka sebelum itu:
"Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya diperdayakan dengan patung itu, dan
sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya; oleh itu,
ikutlah daku dan taatlah akan perintahku".
[91]
Mereka menjawab: "Kami
tidak sekali-kali akan meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan
tetap menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami".
[92]
(Sekembalinya), Nabi
Musa berkata: "Wahai Harun, apakah maniknya yang menghalangmu ketika
engkau melihat mereka sesat,
[93]
"Daripada
menurutku?
Adakah engkau ingkar akan suruhanku?"
[94]
Nabi Harun menjawab:
"Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah
menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata
kepadaku: ` Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan
engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! ' "
[95]
(Sesudah itu Nabi
Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: "Apa pula halmu,
wahai Samiri?"
[96]
Ia menjawab:"
Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku
mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya;
dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku".
[97]
Nabi Musa berkata
kepada Samiri: "Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan
dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan
berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ', dan sesungguhnya
telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak
sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu
yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan
membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut
sehingga hilang lenyap.
[98]
"Sesungguhnya
Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, yang meliputi
pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu".